Selangor Kini: Khamis Janauri 28, 2016
OLEH : SYASYA SUFIAN
SUBANG JAYA 28 JAN: Sekolah Sri Kuala Lumpur (Sri KL) menerapkan konsep sekolah untuk semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan pangkat dengan mementingkan pendidikan dan moral terhadap pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Kuala Lumpur, Hanif Othman Merican, berkata Sekolah Sri KL sering kali menerima persepsi yang mengatakan ia hanya untuk sekolah anak orang kaya.
“Di sini kami terdapat ramai anak daripada pelbagai jenis golongan seperti anak menteri, bangsawan dan sebenarnya terdapat juga ibu tunggal dan keluarga yang berpendapatan rendah yang menghantar anak mereka di sini.
“Terdapat juga ibu bapa yang meminta tangguhan bayaran yuran jika tidak berkemampuan dan pihak sekolah sedia mempertimbangkan kerana yang kami utamakan adalah pempelajaran yang terbaik buat pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Hi-Tea Sri Kuala Lumpur dengan media ‘Membina Kepercayaan’ bertempat di Holiday Villa Subang, di sini, hari ini.
Katanya, di Sekolah Sri KL mereka mengutamakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk membina keyakinan di kalangan pelajar.
“Yang membezakan Sri KL dengan sekolah swasta yang lain adalah majoriti pelajar dan guru kami adalah rakyat Malaysia sendiri.
“Kita mengharapkan dengan adanya kerjasama yang baik bersama media dapat memperluaskan lagi aktiviti yang dijalankan dapat disampaikan kepada seluruh masyarakat,” katanya
Sri Kuala Lumpur merupakan sekolah swasta yang ditubuh sejak 1979 Jalan Nipah, Kuala Lumpur dan kini terletak di Jalan SS15/7A, Subang Jaya.
Sekolah Sri KL memperkenalkan konsep sekolah bestari pada 1999 dan kini sekolah menengah diisytiharkan sebagai ‘sekolah bestari’ oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad pada Jun 2000.